Pada beberapa minggu yang lepas, penyertaan warga
Pekak ke Sukan Paralimpiad Malaysia (SPM) telah menjadi isu yang diperkatakan
selepas Presiden Persatuan Orang Pekak Pahang, Mohamad Firdaus menyuarakan
ketidakpuasan hati dalam dinding Facebook yang memetik tulisan dari blog Pena
Diam (www.amir-hamidi.name.my).
Mesej beliau disokong oleh beberapa individu yang
didapati menerima maklumat yang tidak lengkap tentang cadangan Persatuan Sukan
Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) untuk mengeluarkan kategori Pekak dari SPM.
Komen daripada Presiden Pekak Pahang
Pihak MSDeaf percaya bahawa hal ini dianggap tidak
munasabah sekiranya MSDeaf mengeluarkan kategori Pekak dari SPM secara
tergesa-gesa tanpa adanya sebab yang kukuh dan rasional.
Rasional tersebut telah dikemukakan dalam mesyuarat
khas baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan turut
dihadiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Seperti yang diketahui semua pihak, SPM merupakan
landasan pemilihan atlet OKU yang terbaik seperti OKU Anggota (Wheelchair
Bound, Amputees & Les Autres), OKU Penglihatan (Visually Impaired), Spastik
(Cerebral Palsied) dan OKU Akal (Intellectually Disabled) untuk dipilih
mewakili negara ke kejohanan sukan berprestasi tinggi iaitu Sukan FESPIC, Sukan
PARA Asean, Sukan PARA Asian, Sukan Paralimpik dan kejohanan-kejohanan dunia.
Bagi atlet Pekak yang mengambil bahagian dalam SPM,
kehadiran mereka sekadar sebagai pelengkap penyertaan temasya SPM tanpa adanya
hala tuju yang jelas dan peluang pemilihan ke peringkat lebih tinggi.
Sekiranya diperhalusi dengan teliti, penyertaan
atlet Pekak ke SPM boleh dipersoalkan kerana ia dianggap satu pembaziran masa,
tenaga dan wang disebabkan oleh tiadanya perancangan bagi mencungkil bakat
atlet Pekak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Maka kehadiran atlet
Pekak dalam SPM boleh dikatakan sebagai “Atlet Pelancong”.
Yang perlu kita sedari sebagai warga Pekak yang
tinggal di bumi Malaysia yang telah merdeka lebih separuh abad, sebilangan
daripada kita masih dibelenggu pemikiran yang ‘tidak merdeka’ dan tidak
berpandangan jauh untuk mengubah nasib komuniti kita.
MSDeaf tidak keberatan hati menerima nasihat
daripada pengarah sukan yang menyelia pembangunan Paralimpik di MSN seperti
yang berbunyi “Anda (orang pekak) perlu
memberi sumbangan kepada negara, bukan menanyakan apa yang kerap kerajaan
berikan kepada anda`.
Maksud ini boleh diertikan iaitu komuniti orang
Pekak perlu membuktikan komitmen untuk memberi yang terbaik kepada kerajaan
dengan melahirkan atlet-atlet Pekak yang berkualiti, berdaya saing dan dapat
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan atlet kebangsaan dan juga
atlet Paralimpik.
Atlet Pekak sebenarnya berpotensi besar dalam
persaingan terbuka bersama atlet biasa kerana dari segi fizikal atlet Pekak dan
atlet biasa tiada perbezaan secara langsung.
Yang menjadi perbezaan ketara ialah dari segi
keupayaan kerana atlet biasa lebih tinggi keupayaannya daripada atlet Pekak.
Kenapa perkara ini boleh berlaku? Perkara inilah perlu diperdebatkan – bagaimanakah
melahirkan atlet Pekak berkelas dunia?
Tanggungjawab bersama jabatan kerajaan dan badan
sukan ialah untuk mengumpul atlet-atlet OKU seperti ketidakupayaan fizikal,
ketidakupayaan pendengaran (Pekak) dan masalah pembelajaran (mental) di bawah
satu bumbung kerana kerajaan mengamalkan “Sukan Untuk Semua” dan pihak MPM
menjadi penganjur SPM.
MSDeaf mahu memperlihatkan keupayaan sebenar atlet Pekak
dengan memberi mereka peluang yang sebaik mungkin melalui sistem latihan yang
sistematik, kemudahan sains sukan dan pendedahan dalam pelbagai pertandingan.
Yang paling penting mereka dapat berlatih bersama atlet biasa bagi membolehkan
mereka menimba pengalaman dalam persaingan yang mencabar.
Seperti yang diketahui sekolah-sekolah pendidikan
khas mengadakan Sukan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan pada saban tahun.
Selain daripada itu, ada juga pelajar-pelajar Pekak menyertai acara sukan
anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah peringkat zon, daerah, negeri hingga ke
peringkat kebangsaan. Walau bagaimanapun belum ada rekod menunjukkan pencapaian
terbaik atlet Pekak yang bersaing dengan atlet biasa.
Adalah menjadi dasar MSDeaf, iaitu bersedia bekerjasama
dengan semua pihak. Ada pihak mengatakan bahawa sekiranya atlet Pekak
dikeluarkan dari SPM, disamakanlah dengan orang Pekak memutuskan hubungan dengan
dunia luar. Tanggapan sedemikian adalah tidak tepat sama sekali.
Kita masih boleh lagi bekerjasama melalui
program-program anjuran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) seperti program Sukan
Massa (SM). SM merupakan sukan yang bermatlamat untuk mengeratkan hubungan dan
perpaduan yang bertepatan dengan konsep “Sukan Untuk Semua”.
Dalam kes lain yang pernah direkodkan, terdapat luahan
dan rintihan seorang atlet Pekak yang pernah mewakili negeri. Beliau banyak
kali memenangi pingat emas ketika menyertai SPM. Beliau meluahkan kekecewaannya
tidak pernah dipilih mewakili negara. Yang pasti tiada pihak yang berani
memberi penjelasan yang sebenar mengenai kedudukan atlet tersebut dalam SPM.
Tumpuan sepenuhnya selepas ini akan diberikan kepada
SOPMA ke-18 di Melaka pada tahun 2014 sebagai acara sukan terunggul bagi warga Pekak
di Malaysia di samping berusaha menyedarkan masyarakat umum bahawa pengasingan
ini membawa kebaikan untuk semua pihak.
Dengan demikian juga kerajaan diharapkan akan lebih
fokus dengan memberikan bantuan yang sewajarnya untuk menjayakan penganjuran
dan juga persiapan kontinjen-kontinjen negeri menyertai SOPMA seperti kejayaan penganjuran
SUKMA dan SPM yang mendapat bantuan sepenuhnya oleh kerajaan.